

Dalam kehidupan, sentiasa kita diberi peluang membuat pilihan, dan selalunya kita ada pilihan, 2 atau 3 bahkan kadang-kadang lebih. Namun ada juga ketikanya kita hanya harus memilih dari pilihan yang satu itu – sama ada memilih atau tidak memilih langsung.
Dalam perkembangan politik dan kepimpinan negara serta atas nama liberalisasi dan demokrasi maka kita ditawarkan pilihan. Dalam membuat pilihan kita sering melakukan kesilapan yang hanya kita sedari pada akhirnya saja, bahawa kita tersalah pilih.
Memang sudah menjadi lumrah bahawa kita sentiasa inginkan yang terbaik dalam kehidupan. Namun selalunya kita membuat pilihan berdsarkan luaran yang sentiasa diperlihatkan cantik sedangkan didalamnya tidaklah sedemikian. Sebahagiannya bukanlah salah kita, namun selebihnya adalah kerana kegagalan kita untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk serta akibat kerakusan dan ketamakan hati kita sendiri.
Dalam politik negara dewasa ini, orang Melayu ditawarkan dengan 2 pilihan diantara kiri dan kanan. Malangnya ketaksuban kita dalam berpolitik telah mencacatkan nilai murni dalam kehidupan seharian kita. Justru itulah suatu ketika dahulu ada berlaku dimana kita menolak sama se-bangsa dan sama se-agama hanya kerana pegangan politik yang keterlaluan. Sehingga ada fatwa yang menyatakan bahawa sembahyang yang diimamkan oleh orang kanan adalah tidak sah. Sembelihan oleh orang kanan juga tidak halal. Bahkan haram perkahwinan diantara anak orang sebelah kiri dengan sebelah kanan.
Kadang-kadang kita melihat bahawa darjat politik diletakkan lebih tinggi dari agama. Pemimpin-pemimpin sebelah kiri juga selalu menyatakan bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Namun kita sanggup memisahkan antara kita sesama Islam kerana fahaman politik yang berbeza.
Saya membaca disebuah laman blog (klik sini) dalam bahasa Inggeris yang secara tidak langsungnya membiarkan kita membuat pilihan, diantara yang kiri dangan yang kanan – diantara Prime Minister dan Primate (Perdana Menteri dan Beruk(?)). Semoga rakyat akan gembira membacanya dan mampu membuat pilihan dengan adil dan saksama. Namun natijahnya adalah, kita boleh berbeza dalam pandangan politik tetapi kita harus tetap bersatu dalam satu barisan sebagai satu bangsa bernama Melayu.
Kita boleh memilih antara kiri atau kanan, namun perjalanan harus terus menuju ke depan dengan sesekala kita menoleh kebelakang bagi mendapat panduan dalam menentukan arah yang bakal dituju, juga supaya kita tidak dengan tiba-tiba dikejutkan dan ditikam dari belakang.
~bam/
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
USMAN AWANG